Aku rasa macam banyak sangat benda yang aku nak cerita dan kongsi. Tetapi aku tahu yang kebanyakannya adalah cerita yang telah lapuk. Salah aku juga, sebab aku yang telah lama membenarkan Spiderman tinggal di blog aku ini. Habis semuanya bersawang. Sungguh tidak pandai menjaga kebersihan laa Encik Superman ini. Nasib baiklah encik tidak memakai 'pakaian bawah' (underwear) encik di luar. Kalau tidak, lagi masak la encik dikutuk oleh saya.
Dalam banyak-banyak adiwira yang direka, dicipta, dan diuar-uarkan kehebatan mereka, aku rasa adiwira kegemaran aku adalah..... Boleh tak aku rahsiakan sahaja? Adiwira kegemaran aku merupakan satu-satunya adiwira yang pernah aku 'secret admire' sebenarnya. Hehe... Dan dia bukan ciptaan Barat, okey? Haip, haip... siapa jawab Ultraman, aku ketuk... Ya, secara tiba-tiba aku terasa seperti aku Sang Kancil yang mengetuk kepala buaya dalam cerita animasi kanak-kanak zaman aku kecil dahulu. Sesiapa yang 'sedarjat' dan 'seketurunan' dengan aku, pasti tidak akan lupa pantun ini,
"Satu, dua, tiga lekuk...
Jantan, betina aku ketuk.."
Wah, sungguh enak buah rambutan di seberang sana.. Yummy... Eh, apa motif aku menghuraikan fakta cerita ini? Entah, aku pun tak faham...
Aku terpanggil untuk menyuarakan satu isu yang bakal membikin perenggan seterusnya ini sedikit serius. Okeylah, bukan sedikit, BANYAK serius. Masih ingat lagi topik yang agak menggemparkan masyarakat satu ketika dahulu? Terutamanya rakyat Selangorlah.
Kamu rasa apa ceritanya?
Bukan.
Pun bukan.
Bukan jugak.
Apa yang kamu merepek tu? Ceritanya adalah mengenai mas kahwin yang dinaikkan ke RM300. Maka terjerit terlolonglah mereka yang terasa perit dengan perkhabaran itu ibarat diserang sang garuda (tiada kena-mengena dengan kapal terbang Indonesia berlabel Garuda) layaknya. Cheiss, ayat aku ini kalau dalam Komsas Bahasa Malaysia, sudah layak dikategorikan sebagai ayat hiperbola. Melampau betul.
Maka hebohlah mereka mengatakan itu adalah tidak wajar, menyusahkan, menggalakkan maksiat kerana semakin ramai orang yang tidak mampu untuk menanggung beban mendirikan masjid. Seharusnya nilai mas kahwin itu tidak dinaikkan sehingga begitu rupa atas banyak faktor yang pada aku, HAMPEH. Makluman ya, sama ada pembaca yang berani ataupun pembaca yang pengecut alias ANON, ini pendapat AKU. Janganlah menggelepar tidak tentu pasal, lalu membingitkan ruangan komen aku. Komen membina, aku terima. Komen bangang, pergilah engkau dengan kebangangan engkau. Jangan menyemak di blog aku.
Aku tahu, mesti yang ramai tersalah konsep di antara mas kahwin dan wang hantaran. Mengapa tersentak dengan mas kahwin bernilai RM300? Sedangkan dalam Islam, hantaran itulah yang tidak seharusnya mahal beribu-ribu. Nampak sangat masyarakat Melayu sekarang lebih bangga dengan nilai hantaran yang tinggi, sedangkan harga diri wanita itu tidak lagi dipeduli.
Aku cukup menyampah dengan makcik-makcik yang suka sangat membanggakan diri meletakkan harga begitu tinggi untuk wang hantaran, sekadar untuk berlagak dengan jiran-jiran. Sedangkan anaknya dah diusung ke sana ke mari, murahan. Bagi aku, jika seseorang lelaki berkira hendak membayar mas kahwin RM300 itu, maka dia bukanlah seorang suami yang baik. Sedangkan duit top-up telefon bagi pasangan bercinta pun lebih banyak dari jumlah itu. Tak percaya pergilah buat bancian.
Bayangkan, bayaran RM300 adalah untuk menghak milikkan diri seorang perempuan untuk seumur hidup, InsyaAllah. Itulah nilai yang dibayar oleh seorang suami kepada isteri, dan itulah sahaja nilai yang suami tak boleh tuntut balik dari isteri. Dan dengan nilai itu juga, isteri akan berkorban jiwa raga, melakukan segala-galanya demi suami yang tercinta, menanggung kesakitan melahirkan zuriat yang diibarat bertarung di antara hidup dan mati. Seterusnya pengorbanan menjaga anak-anak dari bayi sehinggalah anak besar panjang. Hati seorang ibu sentiasa diburu resah, memikirkan anak-anak berkeluh kesah. Sedih sang anak sedihnya juga. Gembira sang anak gembiranya juga.
Aku bukan mahu memperkecilkan kaum lelaki. Tetapi pasti ada jutaan sebab kenapa Allah kurniakan nikmat mengandung dan melahirkan kepada perempuan. Serta kenapa Rasulullah sendiri mengakui bahawa doa ibu adalah tiga kali lebih mustajab dari doa bapa. Serta kenapa dinyatakan bahawa syurga terletak di bawah kaki ibu. Bukan kaki bapa. Malah, dalam Al-Quran sendiri diturunkan satu surah khas bagi kaum Hawa iaitu surah An-Nisa'. Sudah cukup terbukti bahawa kedudukan wanita di sisi Tuhan dan agama Islam adalah amat mulia.Tidakkah para lelaki seharusnya merasakan bahawa nilai RM300 itu sebenarnya kecil?
Aku tinggalkan persoalan itu untuk kamu berfikir. Berfikir menggunakan akal dan minda yang Tuhan kurniakan kepada kamu. Bukannya dengan kepala lutut kamu.
Nah, sudah aku katakan. Serius, bukan? Sekali-sekala bertukar nada, apa salahnya. Selagi tutur tak mengguris rasa, selagi bicara tak menghiris jiwa. Jika terasa, pastinya ada yang tidak kena. Umpama kata pujangga, siapa yang makan cili dia yang rasa pedasnya. Aku tidak makan cili, aku makan sos sahaja.
Umpama kata seorang ustaz di siaran radio yang panas, "Renung-renungkan dan selamat beramal!!"
P/S : Congratulations to my darling brother, Muhammad Qusam bin Zainal Abidin yang telah berjaya mendapat 8A dalam PMR 2009 yang lalu. Keep it up, ya! We are so proud of you...
1 comment:
tahniah. anda berjaya serius. tapi mmg betul pun..
beli KASUT NIKE 200 - 500 sanggup..
tukar RIM KETE ribu riban pun sanggup..
tapi..
rm300 utk orang yg TERSAYANG pun susah.. ntah pape je..
Post a Comment