Friday, August 28

Entry Khas Untuk Cik Aizuemi...

Ngaaah~...

Ayah, Ummi, Yi, Matt, Qusam, Qayyim dan Danial datang Kota Tinggi hari ni....

Sampai hari Isnin, tau??

Hang tak nak join ke....??

Datanglah... Datanglah....

Thursday, August 27

Kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi Pantai Minyak Beku. Hehehe.. Dalam maksud tajuk aku..

11 pagi :
"Dengan lafaz Bismillah dan doa, peperiksaan bermula sekarang...."

Sayup-sayup je aku dengar suara ketua pengawas peperiksaan PTK aku, walaupun beliau menggunakan pembesar suara. Sebab aku tengah sibuk berbual dengan kawan aku yang dah lama aku tak jumpa. Dan dia duduk di hadapan meja aku mengambil PTK bersama-sama. Setelah menerima jelingan senget dari salah seorang pengawas di situ, kami bercadang untuk berhenti berbual sekejap. Sekejap sahajalah...

11.02 pagi :
Aku keluarkan slip peperiksaan, dan kad pengenalan. Kemudian aku ambil telefon bimbit line Celcomku, dan aku letakkan dalam mod senyap. Kemudian aku keluarkan telefon bimbit line Maxisku, juga aku letakkan dalam mod senyap. Siap. Letak dalam tas tangan.

11.04 pagi :
Aku baru perasan, aku tidak membawa peralatan untuk menulis. Langsung. Alamak, aku sudah gelabah. Macam mana ni? Boleh tak aku hitamkan ruangan kosong di kertas jawapan dengan marker Artline 70? Tak apalah, untuk menghilangkan gelabah, baik aku baca soalan dahulu..

11.10 pagi :
Oh, aku baru teringat. Tadi kan aku hendak melihat soalan. Aku sedang asyik melihat seseorang di depan sana khusyuk menjawab. Aku bukan tertarik kepada kekhusyukannya, tetapi aku tertarik kepada labuci-labuci yang begitu banyak sekali menghiasi tudungnya. Silau pula mata aku. Hmm, agak-agak, boleh tak aku memakai gelas matahari (sunglass) aku di dalam dewan periksa?

11.12 pagi :
Oh, aku masih belum melihat soalan aku. Emm, let's see.... Soalan 1.. Apakah?? Soalan 2.. Apa ni? Soalan 3.. Hah? Soalan 4.. Tak pernah dengar pun.. Ah, sudah. Aku semakin gelabah. Eh, mana pensel 2B jenama Stabilo yang baru aku beli semalam? Oh, aku lupa yang aku tidak membawa sebarang peralatan menulis. Hehe..

11.15 pagi :
"Psstt...."
(orang sebelah mengangkat kening)
"Pinjam pensel boleh?"
(orang sebelah menghulurkan pensel)
"Mekasih..."

11.20 pagi :
Emm, kadang-kadang aku terfikir juga. Kasihan para panel membuat soalan PTK ini. Bersusah-payah mereka membuatnya, tapi kami yang menjawab ini belum tentu bersusah-payah untuk menjawab. Dalam masa 20 minit ini, dewan peperiksaan telah pun separuh penuh. Lihat, aku orang optimis, tahu? Aku tidak mengatakan separuh kosong, tetapi separuh penuh. Kamu faham maksud aku?

11.27 pagi :
Cikgu aku pernah memberi tips satu masa dahulu. Kata beliau, tinggalkan soalan yang kamu tidak tahu. Jawab dahulu apa yang kamu tahu. Jadi, aku membelek kesemua 40 soalan yang tertera dan cuba menjawab soalan yang aku tahu. Setelah habis 40 soalan itu aku belek, aku melihat kembali kepada kertas jawapan. Jadi, bilangan soalan yang aku tahu adalah.... 1, 2, 3... 3?? Aku baru menjawab 3 soalan?? Ah, biarlah dahulu. Aku perlu fokus.... Jadi, jangan ganggu. Aku sedang fokus ni...

11.40 pagi :
Krekkk.... Aku terdengar bunyi kerusi di hadapanku ditolak perlahan. Alamak! Sahabat aku sudah usai menjawab soalan dan mahu pulang. Kami bersalam-salaman sambil bertukar-tukar ciuman di pipi. Dan aku baru sahaja sedar yang aku bukan lagi berada di Kepulauan Carribean. Patutlah tadi aku rasa aku direnung oleh Leonardo DiCaprio. Mimpi rupanya....

11.43 pagi :
Ya, aku mesti keluar dari dewan sebelum pengumuman ini kedengaran.

"Masa menjawab tinggal lagi 10 minit."

Jadi, dengan peperiksaan yang masih berbaki 37 soalan, dan masa lebih kurang 7 minit, aku menyelesaikan semua soalan itu dengan jayanya.

Ketika di sekolah menengah, aku paling tidak suka dengan subjek Sejarah. Kerana aku pernah diajar oleh seorang guru Sejarah yang suka bercakap lucah. Benci aku. Jadi, ketika itu, salah seorang kawan aku mengeluarkan formula paling hebat yang aku guna pakai dalam kebanyakkan peperiksaan yang aku duduki. Formulanya ialah,

"pilih jawapan yang paling panjang dalam pilihan jawapan"

Haha... Mekasih la Yatt. Kalau bukan kerana kamu, pastinya aku tidak akan berjaya menghabiskan peperiksaan PTK aku ini.

11.49 pagi :
Wah... sudah habis... Aku ambil slip peperiksaan, ambil kad pengenalan dan terus keluar dengan perasaan penuh bangga.. Dewan sekarang bukan lagi separuh penuh, tetapi sudah 1/8 penuh. Jika diambil kira diri aku, aku pasti ianya akan menjadi 1/9 penuh... Kerana apabila aku bangun sahaja, ada 2,3 lagi orang yang turut bangun dan keluar.

11.54 pagi :
Aku sudah di bank. Mengeluarkan wang untuk membayar duit upah pengasuh anak-anakku.

Ohh... Ketika menaip entry ini, aku baru sedar yang aku telah membawa pulang pensel yang aku pinjam dari rakan sebelah tadi. Macam mana aku mahu pulangkan? Beliau bukan rakan sekolah aku pun... Jadi apa yang akan terjadi kepada pensel beliau??

Biarlah rahsia......

# # #



Dulu di sekolah, aku suka peperiksaan. Sebab aku merasakan aku paling hebat dalam peperiksaan. Aku tidak suka masuk acara olahraga. Sebab olahraga dipenuhi oleh perempuan-perempuan yang hanya suka bercerita mengenai pemain-pemain bola sepak tempatan. Aku tidak suka. Aku suka Manchester United. Ketika itu, MU dibarisi pemain hebat seperti Eric Cantona. Dan boipren aku David Beckham baru sahaja hendak menyinar. Beliau masih memakai jersi nombor 24 pada masa itu. Dan jersi nombor 7 itu adalah milik Cantona.

Aku tidak ada kawan lelaki, kerana sekolah aku terdiri dari 100% pelajar perempuan. Kawan-kawan di kelas aku juga lebih obses dengan KRU berbanding Manchester United. Apa hal? Aku tak suka KRU. Aku suka Backstreet Boys. Mereka juga suka 4U2C, Exist dan Nico. Aku suka Take That, N'Sync dan David Beckham. Mereka juga menyokong pasukan Kedah. WTF?? Aku suka Manchester United laa...

Jadi, secara perbualan sosialnya, memang aku tak boleh join dengan mereka. Jadi, banyak dari masa itu aku buat kerja aku sendiri. Contohnya? Aku suka tengok burung-burung di luar berterbangan. Sambil tangan aku melakukan vandalisme pada permukaan meja. Atau aku akan pergi ke tandas. Perjalanan ke tandas hanyalah 2 minit. Tapi, aku akan berusaha sedaya-upaya menjadikannya 15 minit. Atau aku menulis poetry. Aku rasa aku puitis orangnya. Atau aku menulis skrip. Aku pernah menulis sendiri skrip bagi cerita Cinderella. Cerita itu kami pentaskan pada Hari Guru.

Aku tidak memegang watak apa-apa. Kerana aku pengarahnya. Masa budak-budak kelas aku sedang mementaskan cerita Cinderella itu, aku di kantin. Makan karipap dengan minum air sirap. Sebab aku lupa aku pengarah.

Jadi, ketika musim peperiksaan, akulah perhatian semua rakan di kelas. Untuk meminta aku mengajar mereka tentang Sains. Atau Geografi. Atau Bahasa Melayu. Bukan Sejarah. Subjek kegemaran aku masa itu? Bahasa Arab. (Sebab ustaz yang mengajar aku sangatlah handsome... Ngah, jangan kantoikan aku siapa ustaz kesayangan aku tu...) Tapi aku bukan pandai sangat pun. Kan hobi aku menonton TV? *wink wink*

Aku suka peperiksaan. Sungguh. Tak percaya tanya pak cik guard sekolah aku yang layan aku berbual tadi. Sebab aku datang pukul 8.45. Walhal, periksa PTK aku mula pukul 11.

# # #

Sebut tentang sekolah. Aku suka sekolah rendah. Paling aku suka adalah masa perhimpunan. Aku lagi suka kalau perhimpunan itu panjang. Jadi aku akan lambat masuk kelas. Sudah jimat air liur cikgu aku yang masanya selepas perhimpunan. Ahh, aku juga dapat meng'usha' sorang mamat kelas sebelah lebih lama jika perhimpunan itu lama.

Biasanya, perhimpunan Ahad (sebab aku sekolah di Kedah) akan ada nyanyian lagu patriotik. Hari-hari lain ada Asmaul Husna sahaja.

Mula-mula, kami akan menyanyi lagu Negaraku dahulu.

Kemudian lagu Negeri Kedah.

Kemudian lagu Fikirkan Boleh. Sebab masa itu Malaysia baru menang Piala Thomas.

Masa lagu Fikirkan Boleh inilah, ada beberapa perkara tak boleh blah berlaku dalam perhimpunan itu. Ada beberapa mamat-mamat sengal yang duduk di barisan belakang (tidak termasuk aku, walaupun aku di barisan belakang juga. Dan aku bukan mamat) akan membuat aksi. Ada yang buat-buat main bola net. Ada yang bagi bola drop satu. Ada yang konon-konon tengah smash. Ada jugak yang berangan angkat smash.

Aku? (dengan nada hangin tapi dalam hati je laa)
"Woi!! Berenti laa bodoo! Hangpa tak nampak kaa cikgu tengah tengok tu? Kalau cikgu mai tibai kita semua, aku libaih (libas) hangpa dengan besi payung pasaq malam semalam. Jaga hangpa, jagaa.."

Tapi aku tengok cikgu-cikgu sengih je. Termasuk cikgu disiplin dengan guru besar sekali. Kagum kot tengok semangat mamat-mamat bengong tuh. Pengawas-pengawas gila kuasa dan 'jambu' cikgu je yang bengang tengok mamat-mamat tu buat aksi.

Apakah kerjaya mereka sekarang, ya? Berjayakah mereka menjadi pemain badminton profesional seperti yang mereka angankan tu? Atau mereka telah berjaya bekerja di Nusa Mahsuri, walaupun hanya sebagai jaga?

Apa-apa pun, aku doakan mereka berjaya.

Wednesday, August 26

Adakah singkatan Biologi itu Biol? Siapa cakap ya, aku karate...

Tetiba dapat SMS dari adik iparku, Mek Na

"Kak, jom balik rumah mak cuti merdeka. Bukak puasa sama-sama"

"Tanya big boss. Kak cuti sekolah, tak apa. Dia yang susah cuti. Try la SMS dia"

"Huhu.. Orang takut ar.."

"Aik? Kenapa pulak? Tanya je.."

"Kak tanya laa.."

"Tanya dah. Dia buat muka selamba sambil mendiamkan diri buat-buat tengok TV. Tengah fikir laa tu"

"Diam tu tandanya setuju. Hehe.."

"Diam abang ngko nie belum tentu. Susah diagak. Tunggu dia bagi jawapan je laa.."

"Huhu.. Biasa ar dia tu.. Susah betul laa.."

Hehe.. Apa pendapat kamu jika seorang adik takut nak tanya abangnya sendiri, dan rela bertanyakan kakak iparnya?

Itu maknanya, kakak iparnya itu (akulah!) seorang yang cool dan selamba! Agaknyalah. Kan hobi aku 'masuk lif tekan sendiri'. Modenisasi kepada 'masuk bakul angkat sendiri'..

Aku pun tak pasti boleh balik ke tidak. Macam tidak boleh. Aku belum siap memasukkan markah kerja kursus lagi. Apa-apa pun, keputusan di tangan big boss...

# # #

Oh, entry ini sebenarnya hendak meminta doa kamu semua.

Doakan aku dalam peperiksaan PTK esok.

PTK?? Apa itu??

Ohh, Pastiku Tembak Kesemuajawapannya...

Doakan aku, ya?



Kalau Mawi itu Raja SMS, siapakah Ekin?

Ekin adalah bini Mawi. Titik.

Jangan tuduh title aku tak ada kena mengena dengan entry lagi, ya?

Sudah ada kena mengena..

# # #

Ini ada satu teka teki.

Pak Ahmad ada kebun (e ya e ya ooo).
Dalam kebun Pak Ahmad, ada ditanam semua buah-buahan yang boleh didapati di dunia ini (e ya e ya ooo)
Pada suatu hari, kebun Pak Ahmad terbakar (e ya e ya ooo)
Tapi ada 3 buah-buahan yang tak terbakar.
Siapakah buah-buahan itu?

*

*

*

Siapa suruh kamu teka? Aku tidak suruh. Aku akan bagi jawapannya.

1. Buah cempedak di luar pagar.
2. Pisang emas dibawa belayar.
3. Buah keranji di dalam perahu.

Apa rasional aku bagi teka teki ini pada kamu? Sebab aku rasa teka teki ini bagus. Terutama untuk memperkenalkan kembali pantun-pantun tradisi. Jika kamu perasan, semua jawapan itu adalah pembayang pantun.

Begitu juga dengan peribahasa. Aku tak faham kenapa pelajar sekarang sukar mahu mengkolaborasi peribahasa dalam situasi karangan itu. Aku memang suka menggunakan peribahasa dalam karangan aku.

Aku pasti, idola peribahasa anak-anak muda sekarang adalah Karam Singh Walia.

(sila tiru lengkap dengan gaya Karam Singh Walia)

"Alang-alang menyeluk pekasam, biarlah sampai kita tenggelam"

"Biar mati anak kita, jangan mati pucuk kita"

"Kera di hutan kita susukan, kera di rumah kita teh ais-kan"

Jadi? Jadi, aku ada satu cerita. Ini kisah benar.

Aku ada seorang pelajar. Nama dia Kenwen Chua (mungkin nama sebenar). Dia adalah seorang pelajar yang sangat-sangat leng chai... Dia antara pelajar yang aku sayang. [Kenwen, wo she ni de lau se, suo e ni ie ting yao si huan wo]. Ngah, Yi, aku main belasah je ayat ini. Tolong jangan komen, ok? Puji tak apa. Cikgu Bahasa Melayunya pernah memberi tips. Jika mahu mendapatkan markah lebih dalam karangan, sebolehnya pelajar menyelitkan peribahasa di dalam karangan mereka. Kenwen mengambil serius perkara ini, dan cuba menghafal peribahasa untuk kegunaannya di masa hadapan.

Tetapi, satu-satunya peribahasa yang dapat dihafalnya adalah "Tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas". Kesian dia, itupun susah bangat untuk dia menghafalnya.

Cuba kamu bayangkan situasi ini...

Seorang pemeriksa kertas peperiksaan Bahasa Melayu SPM (1103/1) sedang bersedia untuk menanda skrip jawapan pelajar. Beliau membancuh secawan kopi Cap Kapal Api dan mengambil setin biskut meri. Namun beliau terpaksa menukarkan biskut meri itu kepada biskut kering empat segi selepas bininya bising-bising mengatakan biskut meri itu mahu digunakan untuk membuat kek batik. Dengan muka bengang sebab diikut oleh OKD yang ala-ala OKU, beliau mengambil skrip jawapan seorang pelajar.

nota di tangan :
OKD : Orang Kuning DiGi

(menghampiri penghujung karangan)

..."Si Tanggang menjadi cemas. Kapalnya terumbang-ambing dipukul ombak. Kilat dan petir saling sabung-menyabung, ibarat mendendami anak derhaka seperti Si Tanggang. Kata-kata keampunan dipohon dari Sang Ibu. Namun Sang Ibu telah berjauh hati. Tindakan sang anak membelakangi dirinya, malah mencerca dirinya tidak mungkin dapat dimaafkan. Air matanya mengalir di pipi tuanya. Dia memalingkan mukanya dari melihat sang anak. Dia tidak mahu mendengar lolongan sang anak lagi. Biarlah dia menerima balasan di atas sifat derhakanya itu. Dengan satu dentuman yang kuat, Si Tanggang dan seluruh kapalnya telah bertukar menjadi batu. Seperti kata pepatah, "Tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas".

Woohoo. Anti klimaks tu. Pada pendapat kamu, skrip jawapan siapakah itu?

Jangan jawab.

Jika aku si pemeriksa itu, aku pasti air kopi Cap Kapal Api itu tadi akan tersembur keluar dari mulutku. Lebih dahsyat lagi, aku akan tercampak terus ke bulan dan beramah mesra dengan seorang angkasawan yang telah sedia ada di bulan itu. Dan angkasawan itu akan bertanya kepada aku,

"Kapal kau mana?"

Moral of the story : Jika kamu minum kopi Cap Kapal Api, kamu boleh mendarat di bulan tanpa bantuan sut lengkap angkasawan. Selepas itu, kamu akan terpinga-pinga memikirkan cara untuk pulang. Sebab secawan kopi Cap Kapal Api itu telah kamu tinggalkan di bumi.

# # #

Semalam, aku menonton cerita The Hot Chick di Channel Star Movies. Atau mungkin di HBO. Entahlah, aku tidak ingat. Ceritanya berkisarkan tentang seorang lelaki jahat yang secara misterinya bertukar tubuh dengan seorang gadis pasukan penyorak yang hot. Dan aku teringat juga tentang cerita Freaky Friday, di mana seorang ibu bertukar tubuh dengan anak gadis remajanya.

Kadang-kadang aku terfikir juga. Kalau aku diberi kesempatan untuk bertukar tubuh, aku mahu jadi siapa? Atau persoalan yang lebih mencabar lagi adalah, siapa mahu jadi aku??

Dulu aku pernah berangan mahu jadi Suria Perkasa Hitam. (Haip, haip, orang yang faham, jangan ketawa,ok??) Oklah, aku tidak mahu jadi Suria Perkasa Hitam. Aku mahu jadi awek Suria Perkasa Hitam. Mesti aku bangga, sebab pakwe aku hero penyelamat dunia.

Kemudian aku bosan. Sebab pakwe aku hanya handsome ketika menjadi orang. Ketika menjadi hero, dialah antara insan terburuk di dunia. Menyampah aku. Semua orang akan ketawakan aku.

Jadi aku telah menukar cita-cita. Aku mahu menjadi seperti Yukiko dalam cerita Tokyo Cinderella Story. Aku mahu berjumpa, jatuh cinta dan berkahwin dengan lelaki yang handsome, kaya dan romantik seperti Masashi. Masalahnya, Yukiko tinggal di Tokyo. Aku tidak tinggal di Tokyo. Yukiko lemah lembut. Aku tidak lemah lembut. Yukiko pernah naik bullet train. Aku tidak pernah naik bullet train. Dan Yukiko pandai cakap Jepun. Aku tidak pandai cakap Jepun. Jadi?? Case closed!

Pada pendapat kamu, aku wajar bertukar tubuh dengan siapa?

A. Catwoman
B. Victoria Beckham
C. Maria Sharapova
D. Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz

Ya, aku rela bertukar tubuh dengan Ran Mouri, agar aku dapat berdekatan dengan Shinichi Kudo.

Aishiiteru, Kudo-san!

# # #

Aku batuk. Agak teruk. Tapi aku tidak mempunyai kaitan dengan H1N1. Suami aku sibuk suruh aku makan ubat. Aku tak nak. Aku kata ubat itu tidak sedap. Lainlah kalau ubat itu berperisa seperti Chocolate Sundae atau aiskrim Vendetta.

Tapi suami aku kata, doktor berkata, ubat yang tak sedap adalah ubat yang paling baik.

Aku rasa doktor itu tipu. Sebab dulu cikgu Bahasa Inggeris aku ajar,

"Laughter is the best medicine"

Bukan ubat yang tidak sedap itu.

Aargh, para doktor memang penipu. Dulu semasa aku hendak diberi injeksi BCG, doktor itu pun kata tak sakit. Akibatnya, satu sekolah sibuk kejar aku sebab aku berlari sambil meraung dengan jarum suntikan masih di lengan. Dalam kesakitan itu, aku masih mampu mengacah beberapa orang cikgu hingga mereka tidak berjaya menangkap aku. Ala, anggap macam kamu sedang bermain galah panjang. Dan kamu adalah pemenang, bukan para cikgu kamu.

Wah, ini fakta atau auta?

Untuk menjadikannya lebih menarik, jangan ambil tau fakta atau auta.

Dan batuk aku telah sembuh. Bukan dengan bantuan ubat yang tidak sedap itu. Tetapi hasil aku makan Mini Cornetto di dalam peti ais rumah aku.

Ironik, kan?

# # #

Kepada silent readers aku (jika ada). Atau kepada anak-anak muridku yang membaca blog ini (memang ada). Kamu jangan terkejut dengan blog ini. Kerana aku yang aku paparkan di luar tidak mungkin seperti aku di sini. Di luar, aku sangat garang. Juga sangat tidak comel. Serta kejam orangnya. Aku di sini lebih mesra. Serta lebih comel. Serta tidak kejam orangnya.

Tetapi aku mungkin lebih keji di sini, kerana aku akan berkata apa sahaja. Tanpa memikirkan perasaan kamu.

Apa? Aku hipokrit? So? Deal with it!! Peduli apa aku.

# # #

Pernah dengar pepatah orang putih?

You are what you eat.

Untuk sahur tadi, aku makan chicken chop panas.



Jadi, aku adalah chicken?? Lebih baik panggil aku chick. Yang hot (panas).


konon pose seksi~ aww... mak tak rela, nyah...


Tuesday, August 25

Kenapa dengan Waheeda dan Akhil Hayy? Ada kena-mengena dengan aku ke?

Wah, hari ini aku berpuasa.. Setelah beberapa hari aku tidak puasa. Jadi, aku akan berusaha bersungguh-sungguh untuk fokus menulis blog ini. Sebab aku tahu kamu tidak sabar menunggu aku meng'up-date' blog ini.

Ok, mulakan. Aku puasa kan hari ni? Fokus! Hari ni nak masak apa hah? Woi sengal!! Fokus! Aku macam malas masak. Wei! Fokus! Fokus la wei! Fokus! Ok. Aku fokus la ni. Aku harap suami aku beli aja di Pasar Ramadhan. Woi! Fokus la!! Ok ok ok ok ok....

Mulai sekarang, aku akan perluaskan kaedah penulisan aku. Tidak akan setiap kali aku nak cerita tentang hal-hal keluarga atau hal-hal anak. Aku tak nak jadikan blog tempat diari peribadi. Sesungguhnya aku bosan! Bencilah aku melihat blog aku menjadi self-centered je. Semua nak cerita pasal aku je, kan? Walaupun aku tahu aku memang cun, bergaya, hebat, kacak, dan segala pujian-pujian yang memang sesuai dengan aku. Woi! Fokuslah!!

Jadi, aku akan perbanyakkan tulisan versi 2,3 menjak yang lepas. Nak baca diari? Kamu berada di blog yang salah. Sila datang rumah aku, masuk ke bilik tetamu dah cari diari aku di salah satu rak buku di situ. Jumpa? Kamu hebat! Sebab aku tak ada diari. Kau faham tak apa itu fokus??!!

Sudahlah. Aku tak boleh fokus. Baik aku tidur dahulu.

# # #

Aku teringat kata-kata cliche daripada students aku jika mereka buat salah. Pernah mengalami keadaan di mana perkataan "Nobody is perfect" diguna sewenang-wenangnya? Aku pernah.

Dan setiap kali itu berlaku, aku rasa aku seperti seekor semut yang tidak berdosa tetapi teraniaya. Maksudnya? Aku rajin, baik, tulus, mulus, tetapi aku telah terjatuh ke dalam air sirap (akibat pinggir cawan itu licin, bekas gincu bibir yang berpelembap) dan mati lemas. Boleh faham?? Jika tidak faham, sila Google.

Namun, kadang-kadang aku juga menggunakan perkataan itu. Untuk kepentingan diri aku. Jangan kata kamu tidak pernah. Aku tahu kamu tipu.

Jika anak-anak murid aku menggunakan kata-kata itu pada aku, aku akan senyum dahulu. Dan sebelum aku bertukar biru (rujuk entry sebelum ini), aku akan menukar tajuk. Cuma, aku akan balas dengan kata-kata yang pernah aku jumpa di Google juga..

Nobody is perfect.
I am nobody.
So, I'm PERFECT! (AKU 'TER'OBSES DENGAN CAPS LOCK)

Dan aku belum terkeluar tajuk lagi setakat ini, bukan?

Jika aku terbuat salah, sama ada tersalah sebut nama pelajar (jarang sekali) atau tersalah guna perkataan (pernah sekali aku mahu menyebut perkataan epilepsi, tetapi aku sebut Pepsi. Huh??) pelajar pasti akan ketawa. Terbahak-bahak. Tak ingat dunia. Akhirat apatah lagi. Jadi, aku juga akan ketawa bersama-sama mereka. Sambil menumbuk-numbuk permukaan meja. Atau lebih kejam lagi, mencakar papan hitam dengan besi sampai terkeluar bunyi yang boleh mengilukan gigi mereka. Malah gigi aku juga.

Sampai mereka berhenti ketawa secara automatis. Tapi aku tetap terus ketawa. Haa, cuak...

# # #

Sudah hampir 4 hari aku tidak membawa kereta. Ini disebabkan aku tidak perlu bekerja. Selama seminggu. Aku dah rindu nak menekan pedal minyak sambil membetulkan tudung pada cermin pandang belakang aku. Juga, aku tidak sabar lagi mahu mengambil selekoh tajam masuk ke sekolah aku dengan gaya drifter terulung. Hebat kan aku?

Tapi hati aku masih bercita-cita mahu belajar membawa motosikal. Ya, aku bodoh membawa motosikal. Aku lebih pandai dalam Teorem Pitagoras berbanding membawa motosikal. Aku rasa menemani suami aku belajar Makroekonomi dan Mikroekonomi lebih baik dari aku membawa motosikal. Aku pernah berangan-angan mahu mengambil lesen motosikal, dan aku suarakan hasrat suci murni aku itu pada suami aku.

(Tahun : 2002. Mood : Hangat bercinta. Tempat : Depan cafe Desasiswa Permai, USM Penang)
"Bang, orang nak belajar bawak motosikal, boleh?"
"Kalau dapat jawab soalan abang, boleh..."
"Apa dia?"
"Cuba bagitau, kat mana nak masukkan kunci pada motor ni?" (sambil menunjuk kepada satu motor di sebelah aku)

Dengan lagak konfiden. Aku cari. Eh, kat mana ek? Habis dah satu body motor tu aku tengok. Sampai ke tayar. Sampai ke enjin. Sampai ke tempat minyak. Mana ek??

Jadi, pada pendapat kamu, berjayakah aku belajar bawa motosikal??

Jangan jawab.

Dan aku pandai bawa basikal. Aku juga drifter terhebat walaupun dengan hanya berbasikal, tau??

Akibat kesian, serta mungkin juga sebab kasih sayang yang mendalam, suami aku ajar juga membawa motosikal.

Aku hanya drive tak sampai dua meter. Sukses.

Suami aku ajar aku daripada jauh,
"Press minyak aje. Jangan masuk gear. Belajar press minyak je"

Aku kan degil. Aku masuk jugak gear 1.

"Jangan press minyak cepat-cepat!! Slow-slow!! Zura!! Slow!! ARGHHH!"

Cuak juga aku. Di samping tekanan perasaan secara maksima oleh suara suamiku tadi. Nasib baik juga aku hanya belajar di depan rumah aku. Tak ada kenderaan lain pula tu.

Dan suamiku itu begitu prihatin dengan keselamatan motornya, bukan dengan aku. Aku tahu. Peduli apa aku. Nanti bila aku dah pandai membawa motor...

Monday, August 24

Walaupun kamu minat MU, belum tentu kamu minat Rooney.

Pernah tak dalam hidup kamu...

Tengah seronok kamu bercerita, tetiba ada orang buat palat dengan kamu..

Ayat konon-konon hebat tahap gosok gigi ikan pari yang amat membuatkan aku benci adalah,

"Tak tanya pun?!"

Ketika itu, aku pasti kamu akan meminta agar kamu diberikan kuasa seperti Incredible Hulk. Kuasa kemarahan kamu yang bertahap super maksima (tak main laa kuasa minimalis) akan membantu kamu berkuasa untuk melontar orang itu sejauh 839 km dengan halaju 90 km sejam. Tidak boleh laju-laju, nanti disaman polis.

Namun aku nak buat sedikit perubahan. Aku akan pastikan apabila aku bertukar itu, aku akan bertukar kepada warna biru. Sebab aku tau aku lebih cantik dalam warna biru. Seperti warna kuprum (II) sulfat berkepekatan 1M di makmal kimia sekolah aku. Warna hijau memberi ilusi yang menggelikan pada aku. Aku membayangkan seperti lumut-lumut di batu. Atau lebih keji lagi, aku terbayangkan ferum (II) oksida atau bahasa omputihnya karat hijau. Aku lebih rela jika menjadi warna ferum (III) oksida, iaitu warna karat biasa di pagar rumah kamu.

Jadi, aku pilih warna biru.

Dan aku telah keluar tajuk.

Ketika itu, apa respon kamu?

Respon kegemaran aku?

"Aku pun tak cakap dengan kau jugak"
"Memanglah kau tak tanya, tapi mak kau tanya aku tadi"
"Aku sedang bermonolog la. Kau apa tahu?"

Kalau dengan anak-anak muridku,

"Eh, memang la kamu tak tanya. Ikut suka saya la saya nak cakap. Yang kamu sibuk apasal? Nak dengar, dengar. Tak nak dengar, sudah. Yang penting, masa saya mengajar, tiada seorang pun yang dibenarkan bercakap. Saya sorang je yang boleh cakap.." dan disambung dengan apa yang perlu.

Dialog bertubi-tubi milik aku yang ibarat peluru AK-47 inilah yang menyebabkan ramai pelajar tidak sanggup untuk bertikam lidah dengan aku. Sebab aku hebat. Aku menggunakan seluruh kemahiran yang dipelajari ketika menjadi pendebat di sekolah dahulu untuk mematahkan hujah-hujah kurang bernas mereka. Lagipun, aku guna cerebrum. Mereka guna medulla oblongata. Sebab tu mereka tidak berjaya. Nasib baik juga mereka guna medulla oblongata. Kalau mereka guna pankreas atau kelenjar adrenal?

Aku tidak sanggup membayangkannya.

# # #

Pagi tadi, aku menonton siaran langsung Miss Universe di Star World. Apa? Kurang pahala puasa? Tak apa, aku melihat perkara yang aku sendiri pun ada. Aku bukan macam kamu. Aku menumpukan perhatian kepada soalan-soalan ilmiah yang diajukan kepada Top 5 finalis. Itu sahaja.

Tak percaya? Ikut suka kamu. Aku bercakap benar. Sebab aku suci. Maksud aku, hati aku suci. Hehe.

Lalu aku ingin memberitahu.

Miss Congeniality 2009 adalah Miss China.

Miss Photogenic 2009 adalah Miss Thailand.

Fourth runner-up adalah Miss Puerto Rico.

Third runner up adalah Miss Australia.

Second runner-up adalah Miss Kosovo (cantik siot perempuan ini...)

First runner-up adalah Miss Dominican Republic.

Dan untuk tahun kedua berturut-turut, Miss Universe adalah milik Miss Venezuela.

Ada satu perkara kelakar telah terjadi. Aku kesian (baca:gelak guling-guling) pada Miss Universe yang baru. Ini kerana mereka (Miss Universe baru dan lama) terlalu teruja kerana mereka berasal dari negara yang sama. Lalu mereka telah tergedik-gedik melompat-lompat kecil di atas pentas itu sambil ketawa gembira. Aku dah mula cuak.

Apa yang aku cuakkan telah terjawab. Ketika Miss Universe yang lama mahu menyarungkan mahkota (bertemakan Peace. Ha kau, mahkota pun ada tema..) kepada Miss Universe yang baru, mahkota itu telah jatuh (aku ulang, JATUH. Oops, tertekan Caps Lock pula.) Jatuh ke lantai. Tetapi cepat-cepat di'cover' malu itu dengan gelak ketawa.

Aku juga ketawa. Bagai nak rak. Guling-guling di lantai. Sambil anak-anakku buat muka hairan.

Hahahahahahahahahahahahaahahahaha, tekan perut.

Hahahahahahahahhhahahahahahahaa, tepuk pipi.

Hahahahahahahahahahahahahaaaaa, pergi mandi.

# # #

Aku melakukan pembunuhan besar-besaran hari ini. Walaupun di bulan Ramadhan. Aku membunuh haiwan yang takkan sekali-kali aku benarkan dia mendekati aku. Walaupun dia nak autograf aku. Aku bunuh cicak.

Jadi, untuk kamu benar-benar menjadi seorang yang memahami aku, ingat peraturan ini.

1. Jangan sebut tentang sebarang reptilia di hadapan aku.

2. Jangan sebut tentang sebarang amfibia di hadapan aku.

3. Ulang 1 dan 2.


Kepada yang berkenaan. Saya masih menanti-nanti teka-teki yang baru dari anda. Tapi, bukan tentang cicak lagi, ya? Walaupun saya juga gelak berguling-guling dengan teka-teki cicak anda itu. Anda memang menawan, atau kata omputihnya charming. Sungguh, saya tak tipu.


# # #

Semakin menularnya wabak H1N1 di negara kita, maka wajarlah kamu mengambil tindakan berjaga-jaga. Pakai topeng jika kamu ada gejala selesema. Basuh tangan selepas bersin atau batuk. Dan jangan mendedahkan diri ke tempat-tempat awam. Kalau kamu ada plan nak ke taman tema, atau pasaraya, atau mana-mana sahaja yang ramai orang, tak perlulah. Sediakan payung sebelum hujan, ok?

Dahlah tu. Aku mahu bersiap-siap. Mahu ke Pasar Ramadhan. Daaa~

Sunday, August 23

Cuba kamu cakap apa yang aku repekkan ni,ha?

Disebabkan semalam aku Abc, maka aku tidak akan ceritakan apa-apa tentang puasa. Tapi pagi tadi, cuba kamu teka apa yang aku masak untuk bersahur?

Bukan.

Bukan.

Bukan.

Sudahlah tu, tak betul tekaan kamu.

Aku masak mushroom soup, dengan garlic bread sebagai teman mushroom soup itu.

Gila cool kan aku? Macam bersahur di negara yang perlu ditolak 8 jam waktunya dari waktu negara kita. Dan statement ini tidak ada kena-mengena dengan waktu WIB yang selalu ditunjukkan dalam channel-channel ASTRO untuk memberitahu pukul berapa rancangannya akan bermula.

Dan aku telah terkeluar tajuk.

Kemudian, sedang aku enak menjamu selera sambil perasan aku tengah bersahur di England bertemankan David Beckham, akhirnya Mr Hubby aku bangun juga. Selepas butang 'snooze' di telefon bimbitnya ditekan berkali-kali.

Dengan penuh selamba, beliau meneguk air putih kosong sebanyak 1.25L dan terus menyambung tidur.

Nampaknya, beliau lebih cool dari aku...

# # #

Sepanjang hari, aku melakukan aktiviti menonton TV yang aku gemari.Ketika di bangku sekolah, rendah atau menengah, menonton TV diwar-warkan oleh para cikgu aku sebagai hobi yang tidak sihat. Tapi aku kan memang degil. So, aku tetap mengekalkan itu sebagai hobi aku. Walau nak exam final. Walau nak PMR. Walau nak SPM. Sebab itu aku tak pernah ingin nak duduk sekolah berasrama penuh. Buat apa? Rumah aku lagi best, apa? Macam-macam ada... (Cakap je la kau tu manja..)

Pendapat aku berbeza dari para cikgu aku. Ya, aku memang suka lawan cakap cikgu aku. Tapi dalam hati je lah. Sebab aku tak suka mengecilkan hati mereka. Aku berpegang pada prinsip, redha cikgu akan membawa kejayaan kepada aku. Dan aku akui, prinsip aku tu betul. Biarpun aku berada di 4 buah sekolah rendah dan 3 buah sekolah menengah sepanjang persekolahan aku.

Banyak benda yang aku pelajari dari kegemaran aku itu. Antara yang paling ketara, aku mula pandai subjek Matematik selepas aku menjadi pengikut fanatik rancangan Along. Dan aku pernah bercita-cita untuk menjadi selebriti pembaca berita selepas dimotivasikan oleh watak Roy Bahagi, pembaca berita dalam Along juga. Namun, idola aku pastinya Siti Sifir, yang membantu aku menghafal sifir berlagu dengan jayanya...

Aku juga tidak pernah berjaya dipengaruhi oleh sebarang iklan dalam TV. Biarpun aku melihat daya tarikan mainan-mainan dalam kotak Ding Dang sangatlah menarik. Sebab aku nampak ada benang yang terikat pada mainan itu dalam iklan. Patutlah boleh terbang. Aku juga tidak pernah terpengaruh untuk mencuba Rexona For Men, memakai Brylcreem Hair Gel, meniru gaya Stone Cold Steve Austin atau membeli Nissan Sylphy 2.0L(A) CVTC.

Hebat kan aku?

# # #

Sebut tentang lagu. Ada seseorang yang membuat komen secara personal kepada aku. Aku tak pasti kata-kata sebenarnya, tapi dia kagum (metafora beb) dengan kebolehan aku menghubungkaitkan lirik lagu dalam hidupan harian aku. Memang aku akui, itulah kehebatan aku. Bukan meninggi diri, tapi realiti. Dan sehingga sekarang, aku masih melakukan perkara yang sama dalam kelas. Menghubungkaitkan lagu dalam sesi pengajaran dan pembelajaranku..

Contoh.

Chapter 7 bagi subjek Science Tingkatan 4 adalah Light, Colour, Sight. Dalam tajuk ini, ada sub-chapter berkenaan Light Dispersion.

"Dan fenomena semulajadi yang boleh dikaitkan dengan light dispersion itu adalah?"

Ya, itulah soalan aku kepada anak-anak didik aku. Dalam Bahasa Inggeris. Kalau tidak, nanti BISP aku dipotong. Selepas 8 kali aku mengulangi soalan dalam Bahasa Inggeris itu tetapi masih tiada jawapan, maka aku pun mengulanginya dalam Bahasa Melayu. Sama macam ayat di atas itu.

Masih tiada respon. Maka, dengan suara lemak merdu (pernah dengar suara Celine Dion? Haa, suara aku bukan macam itu) aku pun memberi clue kepada mereka

(dengan penuh gaya kononnya akulah Siti Nurhaliza membuat konsert tribute) "Engkau tibaa bagaikan......"

"Pelangi.....!" Dengan pantas anak-anak muridku memberi jawapan.

Aku bangga. Sangat berbangga.

Dan aku terpaksa menghabiskan 5 minit lagi untuk membuatkan mereka diam dan menumpukan perhatian semula. Kerana ada yang mahu menyanyikan lagu itu sehingga tamat. Dengan suara yang membuatkan kamu hendak ke kantin dan memesan jus oren segar berais. Untuk meredakan keperitan gegendang dan salur separuh bulat telinga kamu.

# # #

Dan aku pasti, sesiapa yang kerap menonton televisyen, walau tidak sekronik si kronikler macam aku, pasti dapat mengenalpasti sedutan iklan di bawah. Tidak perlu sebarang kit umpama penyiasat CSI, kerana apa yang kamu perlukan hanyalah daya ingatan!!

1. "Ukurlah sendiri!!"
2. "Guna jari pun boleh.."
3. "Berbaloi-baloi..."
4. "Sebutir nasi tu ibarat setitik peluh petani."
6. "Janganlah selalu pakai baju baru. Kamu telah menjadi kegemaran semua cikgu."
7. "Futsal bukan untuk lelaki je.."
8. "Kahwin?! Nanti kot..."
9. "Kejelitaan adalah milik setiap insan."
10."Saya pun nok jadi jutawe jugok...!"

Dan kamu menjadi begitu tekun menganalisa setiap sedutan sehinggakan tidak perasan bahawa tiada no. 5 di situ... Tahniah jika kamu tidak perasan!!

Friday, August 21

Salam Ramadhan Al-Mubarak

(satan) said:

'o my Lord! Because thou hast put me in the wrong, i will make (wrong) fair seeming to them on the earth, and i will put them all in the wrong. Except Thy servants among them, sincere and purified (by Thy Grace).

39-40; Al-Hijr.

Jadi, dengan penuh rendah diri, saya ucapkan

* Selamat menyambut kehadiran Ramadhan
* Selamat tidak tinggal puasa (kecuali 'Abc')
* Selamat tidak membazir membeli juadah berbuka
* Selamat tidak berpura-pura gastrik
* Selamat tidak buat-buat terlupa tengah puasa selepas meneguk secangkir teh o ais limau di tengahari.
* Selamat tidak meninggalkan solat
* Selamat tidak merokok di siang hari
* Selamat tidak mengumpat
* Selamat tidak meninggalkan solat tarawikh
* Selamat tidak tidak bangun bersahur yang mungkin akan dijadikan alasan untuk tidak berpuasa.
* Selamat tidak kehilangan pahala puasa

dan khas buat semua warga pendidik di Malaysia,

SELAMAT BERCUTI!!

credit to Ridhwan

MAHA 2008. Untuk hilangkan rindu. Korang tak rindu kitorang ke? Rindu jugak, kan??

Itulah nama insan yang paling hebat pernah aku temui dalam hidup aku. Tiada galang gantinya.


MAHA 2008, MARDI Serdang. Mana ayah? Bertugas di laman sayur. Kitorang? Merayap...

Macam nampak je saiz perut aku itu... Hahaha~


Konon khusyuk mendengar cerita ayah tentang pokok melon-nya. Mr Hubby dengan Matt la. Aku tak.
Aku betul-betul concentrate. Aku kan orang Biologi.


Inilah laman sayur atau edible landscape yang dikendalikan oleh ayah.
Laman paling marvellous dalam dunia. Bagi aku.


Satu,dua,tiga.... eh, siapa yang tak ada ek?? Ngah rupanya. Takpelah, ganti dengan Eizzah je laa...

Tak taulah sebenarnya nak berlatarkan capsicum tu ke, or tasik kat belakang tu...

Kami memang hebat, berenang di dasar lautan tanpa menggunakan tong oksigen.
Hampeh ikan itu, menghalang wajah anak aku. Goreng pun sodap ni~

Aku rasa macam sedih je.. Tadi masa kat sekolah, semua orang tanya aku, tak balik kampung ke? Aku memang rasa tak nak balik mula-mulanya.. Tapi selepas beberapa kali diasak oleh soalan yang sama, hati aku dah mula rasa nak balik Serdang. Wajarkah aku membuat permintaan untuk pulang malam ini, sedangkan Mr Hubby letih baru balik dari kerja? Atau, aku offer sahaja untuk memandu malam ini. Aku sanggup driving meredah perjalanan Kota Tinggi - Serdang demi untuk berjumpa ummi, ayah, dan adik-adik aku.

Bila aku call Mr Hubby di tempat kerja, aku dapat berita sedih.. Rupanya esok ada departure untuk jemaah umrah Awal Ramadhan... Tak dapatlah suamiku bercuti sebab nak kena handle departure tu, yang aku tak pasti sama ada dari Senai atau dari Changi. Huk huk.. Abang.. Saya nak balik...

"Ayah, Ummi, Ngah, Yi, Matt, Qusam, Qayyim dan Danial... Kak Yong rindu..."


Thursday, August 20

Masuk hospital?

Takde kena mengena pun tajuk tu sebenarnya. Saja nak wujudkan efek dramatik sikit. Hehe~

Tadi, sedang aku berjalan menuju ke meja aku yang sarat dengan fail-fail PeKA untuk diselesaikan, Kak Rita memanggil aku ke mejanya. Aku dengan muka yang penuh konfius pun pergilah..

Rupa-rupanya Kak Leha yang nak bertanya. Dengan wajah yang dibebani ekspresi ingin tahu, Kak Leha mengutarakan persoalan yang pada firasat aku dah lama bermain di mindanya. Dia ingin tahu prosedur calon pindah pusat menumpang ke luar daerah. Aku yakin aku dapat memberi spesifikasi yang tepat sekiranya persoalan yang diutarakan itu merangkumi ruang litup calon SPM.

Tapi, Kak Leha mengkhususkan persoalan itu untuk Syahmi, anaknya di SK Bandar. Dengan UPSR yang sudah mula menjengah di selekoh (atau cakap omputihnya just around the corner), aku sungguh begitu amat (tengok, berapa banyak kata penegas yang aku gunakan di sini) tidak yakin sekali bahawa prosedur itu akan diluluskan oleh PPD. Namun, sinar mata Kak Leha mengundang aku untuk menyelidiki mengapa persoalan itu dibangkitkan. Tidak mungkin seorang yang rasional seperti Kak Leha berkira-kira untuk melakukan tindakan sedrastik itu tanpa justifikasi yang kukuh.

Rupanya, sakit-sakit yang Syahmi alami selama ini berkait rapat dengan kehadiran anasir paranormal yang menganggu di sekolahnya. Jadi, Kak Leha tidak mahu mendedahkan anaknya kepada masalah itu lagi. Apa yang aku dapat buat adalah meminta Kak Leha sendiri menguruskannya dengan pihak yang berkaitan. Dengan alasan yang kukuh, aku rasa permintaan Kak Leha mungkin akan dipertimbangkan.

Dan secara terus menerus, seperti siaran langsung Barclays Premier League, ingatan aku kembali kepada apa yang aku alami semasa perkhemahan badan beruniform sempena Hari Ko-kurikulum...

Aku insan terpilih, kena menguruskan budak-budak PBSM masa camping itu. Apa yang pasti, tugas utama aku adalah memastikan anak-anak PBSM aku cukup makan. Dan, Kak Lin sebagai big boss PBSM meminta agar aku memasak untuk mereka. Aku?? Memasak untuk pelajar-pelajar seramai lebih kurang 20 orang?? Apakah??

Cabaran disahut. Dari petang Jumaat, bermula jam 4 petang, aku dengan Kak Haizee 'shopping' bahan-bahan mentah di Econsave. Dan seterusnya kami menyingsing lengan di khemah memasak. Disebabkan kami lambat balik dari 'shopping', so kami tukar plan. Makan petang agak ringkas, sebab pelajar-pelajar belum melakukan aktiviti-aktiviti lasak. Tengahari esoknya barulah kami menunjukkan skill power (dan memang berjaya memasak 4 jenis lauk untuk makan tengahari itu. Ada lebih pulak tu. Cikgu-cikgu lain pun tumpang makan sekali. Bagus. Tidak membazir. Dan juga tiada kes keracunan makanan. Bagus. Aku hebat. Haha. Nasib aku baik je tu...)

Malam itu, selepas malam kebudayaan, aktiviti pelajar adalah Explorace. Pergerakan melibatkan hingga ke kawasan Kota Besar, AADK (aku tak pasti singkatan ini betul atau tidak) dan Balai Polis Trafik. Aku diminta menjaga check-point di jalan berbatu kerikil selepas AADK. Aku?? Yang penakut ini?? Malam-malam buta?? Apakah?? Dahlah kumpulan terakhir sampai di check-point aku pada jam 1 pagi. Nasib baik ada yang sudi menemani... Mekasih ye teman-teman..

Selepas pulang ke sekolah, aku dengar budak-budak Kadet Polis memberitahu yang mereka terlihat sesuatu di dalam semak di hadapan Sekolah Agama Bandar. Yang nampak seorang sahaja, dan bila dia mula berlari, yang lain-lain pun ikut berlari.. Hati aku dah berdebar-debar. Minda aku dah dilitupi oleh pelbagai bayangan tidak menyenangkan. Hati aku berbisik, itulah jalan yang aku akan lalui untuk pulang sebentar lagi. Moga aku tak diuji. Takut....

Tapi, aku diuji juga. Aku nampak. Aku takut. Dan aku dah menangis. Jam 2.30 pagi aku pulang ke rumah, dan memang aku nampak sesuatu juga di dalam semak yang sama. Ketika di depan sekolah agama itu, kabus tebal menyelubungi cermin hadapan aku. Jalanraya yang sunyi membuatkan aku memecut laju. Airmata aku juga laju menuruni pipi, selaju pecutan keretaku juga.

Malam itu, aku tidak boleh tidur. Dan antara sedar dan tidak, jam 6 pagi aku sudah berada semula di sekolah, menyediakan sarapan pagi.. Akibatnya, aku demam seminggu. Mungkin sebab terdedah pada embun malam. Mungkin sebab terlampau penat. Mungkin aku ni lembik. Pastinya, semangat aku memang tak kuat.

Nah! Hambik kau!

Aku dah kata aku main badminton sekarang, tak nak percaya...
Aku cakap aku dah kurus, pun tak nak percaya...
Tadi kali terakhir berada di 'singgahsana' badminton sebelum start puasa...
(Memang kami hanya 'singgah' di 'sana')
Silalah lihat kehebatan kami di gelanggang badminton...
Atau lebih tepatnya,
Kehebatan kami berposing di gelanggang badminton...

AHAHA~



Tak pernah tengok lagi rasanya orang bergambar membelakangi kamera (Sila rujuk Boyak, si baju biru).


Main tak best takpe, janji pose best!!

Aku rasa takde orang lain dah dalam dunia yang hantu posing macam budak berdua ni..
Khairi dan Syukri


Penat tak hingat, tapi maintain glamour. Bukan mereka. Aku.


Aku rasa la, si Syukhaimi kat belakang tu tengah gaduh dengan awek dia. Aku rasa.
Gambar diambil dari celah-celah lubang net oleh Izreen. Terer gak makcik ni jadi photographer.

Gaya ala-ala Usain Bolt oleh Khairi. Hampir-hampir aku diserang penyakit kentut tak lawas gara-gara ketawa bagai nak rak tengok gaya ni. Nasib baik kitorang tak buat gaya "bergabung" Goku dengan Bezita (Dragon Ball).

Tengah aku khusyuk membelek gambar-gambar yang diambil oleh si Izreen ni, baru aku terperasan sesuatu. Ada gambar seseorang la... Tengah sibuk bercakap telefon... Dengan aweks barangkali... Hehe.. Ntah hapa-hapa betoi jurugambar aku ni. Suka-suki dia je nak ambik gambar. Maaf ye tuan empunya badan? Jangan marah... Rezeki saya laa tu.

Kepada yang mengerti, nak bagi tau. Komen tentang lagu Kekasih Gelapku tu telah saya balas dalam komen itu juga.

Dan tentang cabaran main badminton itu... Nak jawab balik counter attack itu.

1. Sebab life tak fair la, kita kena berusaha untuk menjadikannya fair. Kalau kita terima je ketidak-fair-an itu, tak mencabar laa...
2. Orang cakap orang tak nak hadiah 100 Plus laa... Nak hadiah lain. Hmm, TV LCD 42 inci, bole?? Hehe...
3. Siapa kata non-stop? Kitorang asyik stop sebab ketawa je. Tak pun ada yang pancit. Bukan saya. Mereka.
4. Hek eleh, 'star' kunun~ Happy-happy heart (suka-suka hati) dia je. Ummi saya kata, siapa lambat kena tinggal. So, selagi tak boleh datang awal, tak payah la berangan...
5. Eh, badminton takde ikut berat ke? Ye ke? Baru saya tau... *pura-pura innocent*
6. Asal suruh belanja, takde hal. Asal suruh belanja, takde hal. Padahal, takde belanja pun... Cakap tak serupa bikin betul la...

Haa, kalau berani, jawablah.

Aku rindu!

Dah makin dekat nak puasa ni, aku dapat rasakan ada satu perasaan jauh di dasar hati aku. Aku beranikan diri, aku selam semampu mungkin, dan aku bawa perasaan itu ke permukaannya. Aku tahu, dan aku pasti, perasaan itu adalah, aku rindukan keluarga aku...

Apa yang membuatkan aku sedikit gembira, tahun ini adalah giliran untuk aku beraya di Serdang. Jarak yang begitu jauh tidak mengizinkan kami beraya di kedua-dua kampung pada tahun yang sama. Kerinduan yang telah timbul di permukaan inilah yang menyebabkan aku menyelongkar kembali segala folder yang ada hingga akhirnya aku temui apa yang aku ingini..

Gambar raya 2007. Best sangat raya ni. Sebab ada cucunda sulung dalam family.


Gambar raya kali pertama aku bergelar seorang ibu. Kesian budak kecik tu ada jerawat atas dahi.

Ok adik-adikku sayang....

1. Nur Zuraiha Harris Abidin binti Zainal Abidin @ Che Ngah,
2. Nur Zuhaili Harris Abidin binti Zainal Abidin @ Auntie Ju,
3. Muhammad Za'im Harris Abidin bin Zainal Abidin @ Uncle,
4. Muhammad Qusam bin Zainal Abidin @ Pak Cik,
5. Muhammad Qayyim bin Zainal Abidin @ Pak Tam,
6. Muhammad Danial Danish bin Zainal Abidin @ Pak Su,

atau ringkasnya HARRIS QD,

JANGAN LUPA DUIT RAYA UNTUK ANAK-ANAKKU. LALALA~

Wednesday, August 19

Tak nak letak tajuk. Baca je la.

Alamak! Lambatnya aku start buat kerja malam ni!

Ni semua gara-gara Numb3rs dengan CSI : Miami.

Sebagai seorang yang sentiasa berdampingan dengan sains, aku memang tak boleh lepas sebarang cerita yang berunsurkan sains. Dan aku memang suka tengok TV. Dari zaman sekolah lagi. Dan aku amat jarang membiarkan TV tu tengok aku. Lepas tambah channel Movies ni, lagi la kronik tahap menonton TV aku. Ye la, bayar mahal-mahal, takkan tak nak tengok.

Tadi kemas-kemas dapur, ternampak ada beberapa bahan mentah yang masih berada di dalam kabinet dapur tu. Pastu, kemas stor, nampak pulak barang-barang yang berkaitan. So, terlintas di fikiran aku. Raya dah dekat. Apa sahaja kuih-muih yang dijual di Bilik Guru tak ada satu pun yang aku order. Mulalah datang idea kurang bernas dari cerebrum aku ni. Apa kata aku buat kuih sendiri tahun ni? Bukannya susah. Dah berapa banyak resipi yang aku pernah buat dan menjadi? Banyak.... So? Nak beli ke nak buat? Aku dah gatal tangan rasa nak buat kuih ni. Tapi aku tak tau sempat ke tidak. Tapi macam teringin sangat nak ada personal touch untuk kuih raya tahun ni. Atau aku buat aku punya trademark, moist chocolate cake je? Adik-adik aku suka itu. Fikir Yong, fikirlah....

Lupa nak rekodkan memori indah Ahad 16 Ogos 2009.

Catatan tangan:
- Miss : Panggilan untuk aku dari anak-anak murid di Tenggaroh. Sebab masa itu, aku memang seorang Miss yang di'miss' ketiadaannya selepas aku berpindah.
- Iszuan : Murid 5 Elit 2005. Seorang Kapten yang bekerja di kapal.
- Ridhwan : Murid 5 Cendekiawan 2005. Seorang Marin Engineer.

Jam 7.30 pagi... Henfonku berbunyi. Bergemalah lagu Ku Merindu di awal-awal pagi... (Kenapa henfon aku boleh berbunyi? Kerana henfon aku TIDAK didaftarkan untuk masuk kursus renang... Wargh kah kah kah...)

"Hello?"
"Hello Miss. Ni Iszuan ni. Saya dengan Ridhwan nak turun Kota tengahari ni. Kitorang nak jumpa Miss, boleh?"
"Of course, darling. (Ya, memang aku memanggil anak-anak muridku begitu). Nak datang rumah saya ke nak jumpa kat Kota je?"
"Ikut Miss la. Kitorang tak kisah"

Sok sek sok sek dengan hubby....

"Ok, kita jumpa dekat Kota je la. Dah keluar simpang Tenggaroh nanti, bagitau, ok? Sempatlah saya ready"
"Ok."

(Kelam-kabut) Kemas rumah, sapu sampah, sidai kain, mandikan Eizzah, mandikan Zikri, masak makan tengahari untuk hubby, aku pulak mandi, tengah mekap, telefon berbunyi...

"Miss, kitorang dah sampai. Kat Restoran Minang, sederet Maybank"
"Ok."

Dah hari itu memang sangat menyeronokkan bagi aku. Terasa penat lelah mengajar selama ni terbalas. Anak Felda pun mampu menjadi hebat. Dari start aku turun dari kereta sampailah aku naik kereta untuk balik rumah, tak ada sesen pun perbelanjaan yang aku keluarkan. Semuanya ditanggung, berebut-rebut pulak tu nak belanja aku. Jalan-jalan kat Plaza Kota, bangga siot sebab bodyguard-bodyguard aku handsome. Hehe.

Satu benda yang aku tak pernah buat selama ni, dah first time aku buat dengan diorang adalah...... Pergi karaoke jamban! Hahaha!!! (Ngah!! Aku dah pernah pergi karaoke jamban! Nanti balik Serdang, bolehlah ajak aku pergi Red Box. Ahaha!) Mula-mula aku biar je diorang nyanyi. Tapi lepas aku dipaksa berduet lagu aku-tak-ingat-tajuk, aku pulak yang tak boleh nak lepaskan mikrofon. So, diorang tambah lagi lagu. Aku lupa nak tanya berapa diorang habis untuk karaoke hari tu.. Best seyh~ Sedap rupanya suara aku (ayat tak boleh blah).

Hari itu jugak aku dapat CD Hafiz-Masih Jelas. Dan secara konfemnya, memang aku dengar Track 1 dengan Track 7 sahaja, iaitu lagu Masih Jelas dengan lagu Bengang. Hehe..

Ok. Dah la. Aku ada entry lain nak buat.

Tuesday, August 18

Silalah Tengok..

Disebabkan begitu banyak permintaan di dalam message box Friendster ku, so aku bagi la apa yang korang nak tu dekat sini. Malas nak upload dalam Friendster. Nanti apa yang dah sedia lambat tu akan menjadi makin bertambah lambat lagi.

Untuk gambar-gambar yang korang nak tengok tu, TENGOK KAT SINI

Kalau tak dapat, maklumkan semula, ya??

Dan, permintaan untuk gambar-gambar terkini Eizzah Nur Harris dan Eizz Zikri Harris pula, aku syorkan korang tunggu gambar raya je la, yek? Ingat tahun nie nak buat fotografi grand punya untuk raya. Ada adik bukak syarikat fotografi, so sebagai kakak yang kaki buli (hehe~) mestilah akan menggunakan segala sumber semaksima mungkin, kan? Aku akan bodek sampai aku dapat family outdoor photography for FREE! Boleh Matt?? Jawapan "tidak boleh" tidak bererti aku tak dapat. Aku kan sangat bersungguh-sungguh orangnya! Haha!!

Baiklah. Mari menyambung memasukkan markah PeKA Sains Teras pula.

Puan Nur Zahura Harris Abidin binti Zainal Abidin, Gambatte Kudasai!!
Hait!!

Huhu ~ :'(

Sedih jugak aku... Huhu~


Lagi sedih bila tengok kereta sendiri... Huwaaa~



Aku baca blog hang, Ngah.
Terpengaruh pulak aku nak letak gambar kereta aku.
Hehe.
Sedih pulak aku bila MyVi biru tu accident.
Sebab dia pernah menemani aku selama dua bulan di sini.
Sabar ye, IYNZ?? (Awat hang bagi nama kat kereta hang, Ngah? Habis tu, kereta Kelisa yang aku pakai nie ada nama jugak, ka??)
Kereta aku dah ok....