Thursday, August 27

Kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi Pantai Minyak Beku. Hehehe.. Dalam maksud tajuk aku..

11 pagi :
"Dengan lafaz Bismillah dan doa, peperiksaan bermula sekarang...."

Sayup-sayup je aku dengar suara ketua pengawas peperiksaan PTK aku, walaupun beliau menggunakan pembesar suara. Sebab aku tengah sibuk berbual dengan kawan aku yang dah lama aku tak jumpa. Dan dia duduk di hadapan meja aku mengambil PTK bersama-sama. Setelah menerima jelingan senget dari salah seorang pengawas di situ, kami bercadang untuk berhenti berbual sekejap. Sekejap sahajalah...

11.02 pagi :
Aku keluarkan slip peperiksaan, dan kad pengenalan. Kemudian aku ambil telefon bimbit line Celcomku, dan aku letakkan dalam mod senyap. Kemudian aku keluarkan telefon bimbit line Maxisku, juga aku letakkan dalam mod senyap. Siap. Letak dalam tas tangan.

11.04 pagi :
Aku baru perasan, aku tidak membawa peralatan untuk menulis. Langsung. Alamak, aku sudah gelabah. Macam mana ni? Boleh tak aku hitamkan ruangan kosong di kertas jawapan dengan marker Artline 70? Tak apalah, untuk menghilangkan gelabah, baik aku baca soalan dahulu..

11.10 pagi :
Oh, aku baru teringat. Tadi kan aku hendak melihat soalan. Aku sedang asyik melihat seseorang di depan sana khusyuk menjawab. Aku bukan tertarik kepada kekhusyukannya, tetapi aku tertarik kepada labuci-labuci yang begitu banyak sekali menghiasi tudungnya. Silau pula mata aku. Hmm, agak-agak, boleh tak aku memakai gelas matahari (sunglass) aku di dalam dewan periksa?

11.12 pagi :
Oh, aku masih belum melihat soalan aku. Emm, let's see.... Soalan 1.. Apakah?? Soalan 2.. Apa ni? Soalan 3.. Hah? Soalan 4.. Tak pernah dengar pun.. Ah, sudah. Aku semakin gelabah. Eh, mana pensel 2B jenama Stabilo yang baru aku beli semalam? Oh, aku lupa yang aku tidak membawa sebarang peralatan menulis. Hehe..

11.15 pagi :
"Psstt...."
(orang sebelah mengangkat kening)
"Pinjam pensel boleh?"
(orang sebelah menghulurkan pensel)
"Mekasih..."

11.20 pagi :
Emm, kadang-kadang aku terfikir juga. Kasihan para panel membuat soalan PTK ini. Bersusah-payah mereka membuatnya, tapi kami yang menjawab ini belum tentu bersusah-payah untuk menjawab. Dalam masa 20 minit ini, dewan peperiksaan telah pun separuh penuh. Lihat, aku orang optimis, tahu? Aku tidak mengatakan separuh kosong, tetapi separuh penuh. Kamu faham maksud aku?

11.27 pagi :
Cikgu aku pernah memberi tips satu masa dahulu. Kata beliau, tinggalkan soalan yang kamu tidak tahu. Jawab dahulu apa yang kamu tahu. Jadi, aku membelek kesemua 40 soalan yang tertera dan cuba menjawab soalan yang aku tahu. Setelah habis 40 soalan itu aku belek, aku melihat kembali kepada kertas jawapan. Jadi, bilangan soalan yang aku tahu adalah.... 1, 2, 3... 3?? Aku baru menjawab 3 soalan?? Ah, biarlah dahulu. Aku perlu fokus.... Jadi, jangan ganggu. Aku sedang fokus ni...

11.40 pagi :
Krekkk.... Aku terdengar bunyi kerusi di hadapanku ditolak perlahan. Alamak! Sahabat aku sudah usai menjawab soalan dan mahu pulang. Kami bersalam-salaman sambil bertukar-tukar ciuman di pipi. Dan aku baru sahaja sedar yang aku bukan lagi berada di Kepulauan Carribean. Patutlah tadi aku rasa aku direnung oleh Leonardo DiCaprio. Mimpi rupanya....

11.43 pagi :
Ya, aku mesti keluar dari dewan sebelum pengumuman ini kedengaran.

"Masa menjawab tinggal lagi 10 minit."

Jadi, dengan peperiksaan yang masih berbaki 37 soalan, dan masa lebih kurang 7 minit, aku menyelesaikan semua soalan itu dengan jayanya.

Ketika di sekolah menengah, aku paling tidak suka dengan subjek Sejarah. Kerana aku pernah diajar oleh seorang guru Sejarah yang suka bercakap lucah. Benci aku. Jadi, ketika itu, salah seorang kawan aku mengeluarkan formula paling hebat yang aku guna pakai dalam kebanyakkan peperiksaan yang aku duduki. Formulanya ialah,

"pilih jawapan yang paling panjang dalam pilihan jawapan"

Haha... Mekasih la Yatt. Kalau bukan kerana kamu, pastinya aku tidak akan berjaya menghabiskan peperiksaan PTK aku ini.

11.49 pagi :
Wah... sudah habis... Aku ambil slip peperiksaan, ambil kad pengenalan dan terus keluar dengan perasaan penuh bangga.. Dewan sekarang bukan lagi separuh penuh, tetapi sudah 1/8 penuh. Jika diambil kira diri aku, aku pasti ianya akan menjadi 1/9 penuh... Kerana apabila aku bangun sahaja, ada 2,3 lagi orang yang turut bangun dan keluar.

11.54 pagi :
Aku sudah di bank. Mengeluarkan wang untuk membayar duit upah pengasuh anak-anakku.

Ohh... Ketika menaip entry ini, aku baru sedar yang aku telah membawa pulang pensel yang aku pinjam dari rakan sebelah tadi. Macam mana aku mahu pulangkan? Beliau bukan rakan sekolah aku pun... Jadi apa yang akan terjadi kepada pensel beliau??

Biarlah rahsia......

# # #



Dulu di sekolah, aku suka peperiksaan. Sebab aku merasakan aku paling hebat dalam peperiksaan. Aku tidak suka masuk acara olahraga. Sebab olahraga dipenuhi oleh perempuan-perempuan yang hanya suka bercerita mengenai pemain-pemain bola sepak tempatan. Aku tidak suka. Aku suka Manchester United. Ketika itu, MU dibarisi pemain hebat seperti Eric Cantona. Dan boipren aku David Beckham baru sahaja hendak menyinar. Beliau masih memakai jersi nombor 24 pada masa itu. Dan jersi nombor 7 itu adalah milik Cantona.

Aku tidak ada kawan lelaki, kerana sekolah aku terdiri dari 100% pelajar perempuan. Kawan-kawan di kelas aku juga lebih obses dengan KRU berbanding Manchester United. Apa hal? Aku tak suka KRU. Aku suka Backstreet Boys. Mereka juga suka 4U2C, Exist dan Nico. Aku suka Take That, N'Sync dan David Beckham. Mereka juga menyokong pasukan Kedah. WTF?? Aku suka Manchester United laa...

Jadi, secara perbualan sosialnya, memang aku tak boleh join dengan mereka. Jadi, banyak dari masa itu aku buat kerja aku sendiri. Contohnya? Aku suka tengok burung-burung di luar berterbangan. Sambil tangan aku melakukan vandalisme pada permukaan meja. Atau aku akan pergi ke tandas. Perjalanan ke tandas hanyalah 2 minit. Tapi, aku akan berusaha sedaya-upaya menjadikannya 15 minit. Atau aku menulis poetry. Aku rasa aku puitis orangnya. Atau aku menulis skrip. Aku pernah menulis sendiri skrip bagi cerita Cinderella. Cerita itu kami pentaskan pada Hari Guru.

Aku tidak memegang watak apa-apa. Kerana aku pengarahnya. Masa budak-budak kelas aku sedang mementaskan cerita Cinderella itu, aku di kantin. Makan karipap dengan minum air sirap. Sebab aku lupa aku pengarah.

Jadi, ketika musim peperiksaan, akulah perhatian semua rakan di kelas. Untuk meminta aku mengajar mereka tentang Sains. Atau Geografi. Atau Bahasa Melayu. Bukan Sejarah. Subjek kegemaran aku masa itu? Bahasa Arab. (Sebab ustaz yang mengajar aku sangatlah handsome... Ngah, jangan kantoikan aku siapa ustaz kesayangan aku tu...) Tapi aku bukan pandai sangat pun. Kan hobi aku menonton TV? *wink wink*

Aku suka peperiksaan. Sungguh. Tak percaya tanya pak cik guard sekolah aku yang layan aku berbual tadi. Sebab aku datang pukul 8.45. Walhal, periksa PTK aku mula pukul 11.

# # #

Sebut tentang sekolah. Aku suka sekolah rendah. Paling aku suka adalah masa perhimpunan. Aku lagi suka kalau perhimpunan itu panjang. Jadi aku akan lambat masuk kelas. Sudah jimat air liur cikgu aku yang masanya selepas perhimpunan. Ahh, aku juga dapat meng'usha' sorang mamat kelas sebelah lebih lama jika perhimpunan itu lama.

Biasanya, perhimpunan Ahad (sebab aku sekolah di Kedah) akan ada nyanyian lagu patriotik. Hari-hari lain ada Asmaul Husna sahaja.

Mula-mula, kami akan menyanyi lagu Negaraku dahulu.

Kemudian lagu Negeri Kedah.

Kemudian lagu Fikirkan Boleh. Sebab masa itu Malaysia baru menang Piala Thomas.

Masa lagu Fikirkan Boleh inilah, ada beberapa perkara tak boleh blah berlaku dalam perhimpunan itu. Ada beberapa mamat-mamat sengal yang duduk di barisan belakang (tidak termasuk aku, walaupun aku di barisan belakang juga. Dan aku bukan mamat) akan membuat aksi. Ada yang buat-buat main bola net. Ada yang bagi bola drop satu. Ada yang konon-konon tengah smash. Ada jugak yang berangan angkat smash.

Aku? (dengan nada hangin tapi dalam hati je laa)
"Woi!! Berenti laa bodoo! Hangpa tak nampak kaa cikgu tengah tengok tu? Kalau cikgu mai tibai kita semua, aku libaih (libas) hangpa dengan besi payung pasaq malam semalam. Jaga hangpa, jagaa.."

Tapi aku tengok cikgu-cikgu sengih je. Termasuk cikgu disiplin dengan guru besar sekali. Kagum kot tengok semangat mamat-mamat bengong tuh. Pengawas-pengawas gila kuasa dan 'jambu' cikgu je yang bengang tengok mamat-mamat tu buat aksi.

Apakah kerjaya mereka sekarang, ya? Berjayakah mereka menjadi pemain badminton profesional seperti yang mereka angankan tu? Atau mereka telah berjaya bekerja di Nusa Mahsuri, walaupun hanya sebagai jaga?

Apa-apa pun, aku doakan mereka berjaya.

No comments: