Takde kena mengena pun tajuk tu sebenarnya. Saja nak wujudkan efek dramatik sikit. Hehe~
Tadi, sedang aku berjalan menuju ke meja aku yang sarat dengan fail-fail PeKA untuk diselesaikan, Kak Rita memanggil aku ke mejanya. Aku dengan muka yang penuh konfius pun pergilah..
Rupa-rupanya Kak Leha yang nak bertanya. Dengan wajah yang dibebani ekspresi ingin tahu, Kak Leha mengutarakan persoalan yang pada firasat aku dah lama bermain di mindanya. Dia ingin tahu prosedur calon pindah pusat menumpang ke luar daerah. Aku yakin aku dapat memberi spesifikasi yang tepat sekiranya persoalan yang diutarakan itu merangkumi ruang litup calon SPM.
Tapi, Kak Leha mengkhususkan persoalan itu untuk Syahmi, anaknya di SK Bandar. Dengan UPSR yang sudah mula menjengah di selekoh (atau cakap omputihnya just around the corner), aku sungguh begitu amat (tengok, berapa banyak kata penegas yang aku gunakan di sini) tidak yakin sekali bahawa prosedur itu akan diluluskan oleh PPD. Namun, sinar mata Kak Leha mengundang aku untuk menyelidiki mengapa persoalan itu dibangkitkan. Tidak mungkin seorang yang rasional seperti Kak Leha berkira-kira untuk melakukan tindakan sedrastik itu tanpa justifikasi yang kukuh.
Rupanya, sakit-sakit yang Syahmi alami selama ini berkait rapat dengan kehadiran anasir paranormal yang menganggu di sekolahnya. Jadi, Kak Leha tidak mahu mendedahkan anaknya kepada masalah itu lagi. Apa yang aku dapat buat adalah meminta Kak Leha sendiri menguruskannya dengan pihak yang berkaitan. Dengan alasan yang kukuh, aku rasa permintaan Kak Leha mungkin akan dipertimbangkan.
Dan secara terus menerus, seperti siaran langsung Barclays Premier League, ingatan aku kembali kepada apa yang aku alami semasa perkhemahan badan beruniform sempena Hari Ko-kurikulum...
Aku insan terpilih, kena menguruskan budak-budak PBSM masa camping itu. Apa yang pasti, tugas utama aku adalah memastikan anak-anak PBSM aku cukup makan. Dan, Kak Lin sebagai big boss PBSM meminta agar aku memasak untuk mereka. Aku?? Memasak untuk pelajar-pelajar seramai lebih kurang 20 orang?? Apakah??
Cabaran disahut. Dari petang Jumaat, bermula jam 4 petang, aku dengan Kak Haizee 'shopping' bahan-bahan mentah di Econsave. Dan seterusnya kami menyingsing lengan di khemah memasak. Disebabkan kami lambat balik dari 'shopping', so kami tukar plan. Makan petang agak ringkas, sebab pelajar-pelajar belum melakukan aktiviti-aktiviti lasak. Tengahari esoknya barulah kami menunjukkan skill power (dan memang berjaya memasak 4 jenis lauk untuk makan tengahari itu. Ada lebih pulak tu. Cikgu-cikgu lain pun tumpang makan sekali. Bagus. Tidak membazir. Dan juga tiada kes keracunan makanan. Bagus. Aku hebat. Haha. Nasib aku baik je tu...)
Malam itu, selepas malam kebudayaan, aktiviti pelajar adalah Explorace. Pergerakan melibatkan hingga ke kawasan Kota Besar, AADK (aku tak pasti singkatan ini betul atau tidak) dan Balai Polis Trafik. Aku diminta menjaga check-point di jalan berbatu kerikil selepas AADK. Aku?? Yang penakut ini?? Malam-malam buta?? Apakah?? Dahlah kumpulan terakhir sampai di check-point aku pada jam 1 pagi. Nasib baik ada yang sudi menemani... Mekasih ye teman-teman..
Selepas pulang ke sekolah, aku dengar budak-budak Kadet Polis memberitahu yang mereka terlihat sesuatu di dalam semak di hadapan Sekolah Agama Bandar. Yang nampak seorang sahaja, dan bila dia mula berlari, yang lain-lain pun ikut berlari.. Hati aku dah berdebar-debar. Minda aku dah dilitupi oleh pelbagai bayangan tidak menyenangkan. Hati aku berbisik, itulah jalan yang aku akan lalui untuk pulang sebentar lagi. Moga aku tak diuji. Takut....
Tapi, aku diuji juga. Aku nampak. Aku takut. Dan aku dah menangis. Jam 2.30 pagi aku pulang ke rumah, dan memang aku nampak sesuatu juga di dalam semak yang sama. Ketika di depan sekolah agama itu, kabus tebal menyelubungi cermin hadapan aku. Jalanraya yang sunyi membuatkan aku memecut laju. Airmata aku juga laju menuruni pipi, selaju pecutan keretaku juga.
Malam itu, aku tidak boleh tidur. Dan antara sedar dan tidak, jam 6 pagi aku sudah berada semula di sekolah, menyediakan sarapan pagi.. Akibatnya, aku demam seminggu. Mungkin sebab terdedah pada embun malam. Mungkin sebab terlampau penat. Mungkin aku ni lembik. Pastinya, semangat aku memang tak kuat.
No comments:
Post a Comment