Saturday, January 16

Tahukah anda, apabila burung unta memasukkan kepalanya ke dalam tanah, dia bernafas melalui bontotnya?

Betul agaknya. Tadi aku tengok cerita Cuci. Itulah yang diberitahu oleh Ida Nerina kepada Afdlin Shauki dan Hans Isaac sejurus sebelum Hans Isaac mahu mencari tandas.

Setelah lama aku menjadi pengantin baru, maka telah bermula kembali hidup aku sebagai ibu beranak dua. Oh ya, maksud aku menjadi pengantin baru itu adalah kerana aku telah 'mengepos' kedua-dua anakku ke Serdang sepanjang cuti sekolah yang lalu. Sebulan setengah tau. Tetapi bukan bermaksud aku ini suka-suka sahaja. Aku mempunyai tanggungjawab untuk diselesaikan. Dan aku dapat menyelesaikannya dengan lebih efektif apabila tidak dikelilingi oleh anak-anakku. Tidak bermaksud apabila aku berpisah lama begitu, aku tidak menyayangi mereka. Itu fikiran mereka yang tidak berfikiran luas.

Sekarang ini, aku terasa seperti mahu pengsan. (Tetapi tidak pengsan-pengsan juga.) Kerana anak-anakku sudah semakin aktif dan lasak. Kekemasan rumah aku selama ini akhirnya tunggang-langgang juga akhirnya. Habis bunga-bunga di ruang tamuku dipetik oleh Zikri. Nak mengamuk, buat habis air liur sahaja. Sudahnya, aku senyum sahaja. Kalau nak dibuat lirik lagu melayu jiwang zaman dulu-dulu pun boleh. Tangisan dalam ketawa, begitulah bunyinya. Eh, macam dah ada je lirik tu wujud. Cuba cari apa tajuknya. Kalau tidak salah aku, "Umpama Mimpi Dalam Mimpi", tanpa perkataan "Koko Jelly" di belakangnya.

Tak boleh betul hati dan perasaan aku mahu memarahi mereka. Kerana aku rasa itulah hak mereka sebagai kanak-kanak kecil untuk bermain, menjerit, dan bergelak ketawa tanpa perlu memikirkan apa-apa masalah. Cuba kamu bayangkan jika orang tua yang melakukan sedemikian. Aku pasti, jika mereka tidak ditampar oleh saudara terdekat mereka, pilihan yang lain adalah dihantar ke mana-mana cawangan Hospital Bahagia yang terdekat. Percayalah. Yang penting, ada perkataan dekat.

Aku rasa, hidupan seharian yang meletihkan ini sebenarnya merupakan terapi minda yang amat berkesan. Tidak perlulah aku pergi ke spa, spanar, spatula, spastik atau apa-apa spa yang berkaitan secara langsung atau tidak langsung. Melayan kerenah mereka sahaja sudah dapat diumpamakan seperti terapi spa menggunakan batu panas dari kawasan gunung berapi. Cuma kadang-kadang aku terasa bagai batu itu baru diambil dari lava yang masih menggelegak dan terus sahaja diletak di atas belakang aku. Mendidih semua eritrosit dan leukosit aku. Platlet dan plasma darah aku juga menjerit-jerit kepanasan agaknya. Wah, semenjak aku mengajar Bahasa Inggeris tingkatan 4 ini, semakin hiperbola pula ayat-ayat aku.

Sudahlah, entri kali ini bukannya bermakna. Cuma hendak memaklumkan bahawa aku masih ingat lagi password blogspot aku. Aku betul-betul ingat yang aku sudah lupa (apa ini, sekejap ingat sekejap lupa. Yang mana satu sebenarnya?)

Baiklah, mari berhenti menaip. Selagi jari jemari runcing dan halusku (ewahh~) masih di permukaan papan kekunci komputer ribaku ini (fuiyoo, ayat skema habis..) selagi itulah kamu terpaksa membaca entri yang entah apa-apa. Siapa yang tension nanti? Yang pastinya bukan aku, tapi kamu. Aku tidak rasa apa-apa. Kamulah yang akan merasakannya. Aku...

Yalah, yalah. Aku berhentilah.

Sudah penat mendengar aku membebel ya? Aku baru...

Yelah, aku berhenti la ni.

Menyampah.